Monday, August 17, 2009

selamat menghadapi peperiksaan

kepada semua pelajar smksb selamat menjalani peperiksaan pertengahan penggal kedua. semoga apa yang kalian usaha akan beroleh kejayaan

Tuesday, August 4, 2009

kata pemeri

  • kata pemeri kata yang berfungsi sebagai penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.
  • kata pemeri adalah seperti ialah dan adalah

ialah

digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama (kata nama hadir selepas perkataan ialah).

Contoh ayat: 1) Rumah itu ialah rumah datuk Mohan.

2) Kucing belang itu ialah kucing jenis Parsi.

Adalah

digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh ayat: 1) Jawapan yang diberikan oleh peserta kuiz itu adalah tepat.

2) Kain pelikat ini adalah untuk ayahnya.

Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan kata kerja @ frasa kerja.

Monday, May 18, 2009

BOLEHKAH KATA KERJA TAK TRANSITIF DIIKUTI OLEH FRASA NAMA?

Bolehkah kata kerja tak transitif bahasa Melayu diikuti oleh frasa nama? Jawabnya, tidak boleh. Kata kerja tak transitif tidak boleh diikuti frasa nama yang seolah-olah frasa nama itu menjadi objek bagi kata kerja tak transitif tersebut.
Kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek, kerana kata kerja yang memerlukan objek ialah kata kerja transitif. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1. Saya mengenali adik bongsunya pada bulan lepas.
2. Kami sudah melupakan peristiwa ngeri itu.
Ayat 1 dan 2 ialah ayat aktif transitif. Kita mengatakan ayat aktif kerana ayat ini meletakkan pelaku (agen perbuatan) di hadapan ayat, yakni sebagai judul. Ayat yang menjudulkan pelaku sebagai subjek ialah ragam ayat aktif. Kedua-dua ayat tersebut mengandungi kata kerja transitif, iaitu mengenali (ayat 1), dan melupakan (ayat 2).
Kata kerja transitif mengenali diikuti oleh frasa nama adik bongsunya, dan kata kerja transitif melupakan pula diikuti oleh frasa nama peristiwa ngeri itu. Frasa nama adik bongsu terbina daripada kata nama adik sebagai inti, dan kata nama bongsu(nya) sebagai penerang, manakala frasa nama peristiwa ngeri terbentuk daripada binaan kata nama peristiwa sebagai inti dan kata adjektif ngeri sebagai penerang. Kedua-dua frasa nama ini bertindak sebagai objek kepada kata kerja transitif tersebut. Inilah buktinya bahawa kata kerja transitif dapat diikuti oleh frasa nama sebagai objek.
Sekarang, telitilah pula ayat contoh yang berikut ini:
3. *Saya kenal adik bongsunya.
4. *Datuk sudah lupa jalan ke rumahnya.
5. *Kami balik kampung.
6. *Kakak pulang sekolah.
Kenal (ayat 3), lupa (ayat 4), balik (ayat 5), dan pulang (ayat 6) ialah kata kerja tak transitif asal. Kata kerja tak transitif dalam bentuk asal ini merupakan kata kerja yang bebas dan tidak berimbuhan. Contoh kata kerja tak transitif seperti ini yang lain ialah ada, bangkit, carik, datang, faham, gugur, hamil, jatuh, lenyap, dan lain-lain.
Dalam ayat 3 – 6, kata kerja tak transitif diikuti oleh frasa nama, iaitu kenal diikuti oleh frasa nama adik bongsunya, lupa diikuti oleh frasa nama jalan ke rumahnya, balik diikuti frasa nama kampung, dan frasa nama sekolah mengikuti kata kerja transitif pulang.
Keempat-empat ayat tersebut tidak baku (diakritik * menunjukkan ayat tidak gramatis) kerana menyalahi peraturan atau rumus tatabahasa tentang frasa kata kerja tak transitif. Rumus kata kerja tak transitif menegaskan bahawa kata kerja tak transitif perlu diikuti oleh kata sendi nama dahulu, kemudian baharu diikuti pula oleh frasa nama (KKTT + KSN + FN) dalam konteks peluasan unsur ayat selepas kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif tidak boleh disambut terus oleh frasa nama.
Oleh itu, keempat-empat ayat tersebut menjadi betul apabila kata sendi nama hadir selepasnya lalu menjadi ayat yang gramatis, seperti yang berikut ini:
3. (a) Saya kenal akan adik bongsunya.
4. (a) Datuk sudah lupa akan jalan ke rumahnya.
5. (a) Kami balik ke kampung.
6. (a) Kakak pulang dari sekolah.
Selain itu, harus diingat bahawa kata kerja tak transitif yang berawalan “ber-”
atau “me-” atau “ter-” tidak boleh ditiadakan awalannya. Tanpa awalan pada kata kerja tak transitif itu menjadikan kata kerja tersebut salah, dan seterusnya akan menerbitkan bentuk ayat yang tidak baku sifatnya. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:
7. *Jejaka itu senyum kepada kekasihnya.
8. *Cikgu Arifin tanya kepada ketua darjah.
9. *Dia bisik kepada saya.
10. *Dia jatuh ketika lompat pagar.
Ayat 7 – 10 menjadi betul jika kata kerja tak transitif senyum, tanya, bisik, jatuh
dan lompat diimbuhi dengan awalan:
senyum – tersenyum
tanya – bertanya
bisik – berbisik
jatuh – terjatuh
lompat – melompat
Ayat yang betul ialah
7. (a) Jejaka itu tersenyum kepada kekasihnya.
8. (a) Cikgu Arifin bertanya kepada ketua darjah.
9. (a) Dia berbisik kepada saya.
10. (a) Dia terjatuh ketika melompat pagar.
Begitulah huraian yang menjawab soalan yang menjadi tajuk ruangan ini kali ini.
Semoga huraian ini dapat melenyapkan kemusykilan, serta dapat menjadi panduan kepada para pelajar.

Tuesday, April 28, 2009

selamat datang

selamat datang ke blog saya... sebarang maklumat dan info terkini akan dipaparkan di blog ini